BARISAN Nasional (BN) Kedah hari ini akur dengan kehendak rakyat selepas mengalami kekalahan besar kepada Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan hanya tiga kerusi mampu dipertahankan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Bekas menteri besar Kedah yang juga Pengerusi BN Kedah Ahmad Bashah Md Hanifah berkata mereka akan terus memastikan sistem demokrasi dan Perlembagaan negara terus dipertahankan.
“Bagi kami, sistem demokrasi dan Perlembagaan negara ini perlu terus dijunjung bagi memastikan keharmonian dan kemakmuran tanah air terus terjaga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Bashah kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti yang disandangnya selama lima penggal.
PRU14 juga menyaksikan kekalahan dramatik BN di kubu kuat mereka seperti di kerusi Parlimen Kubang Pasu kepada PH dan Bayu kepada PAS.
PH menang 18 kerusi dan PAS 15 kerusi dan kemungkinan Kedah akan menyaksikan DUN tergantung jika BN dan PAS memutuskan bekerjasama membentuk kerajaan campuran.
Kata Ahmad Bashah, sebagai kerajaan negeri, BN Kedah sebelum ini telah mentadbir negara dengan penuh amanah.
“Sepanjang diberi ruang mentadbir negeri, kami telah menjalankan amanah dengan sepenuh hati bagi memastikan kebajikan rakyat, kemajuan negeri dan kesejahteraan bumi jelapang padi ini dipelihara.
“Semoga negeri Kedah dan Malaysia tercinta terus maju serta terpelihara kedaulatannya,” katanya. – 10 Mei, 2018.
Komen