SUKARELAWAN PKR yang membantu mengesahkan alamat berkenaan Godfrey Group Limited, syarikat dikaitkan dengan pelobi Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan diupah oleh kerajaan Malaysia, disiasat kerana mencuri, kata polis Johor hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Kamarulzaman Mamat berkata Gerald Tang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dokumen, tetapi enggan memperincikan dokumen apa yang dicuri oleh Tang.
“Kami sedang menyiasat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Tang yang ditahan semalam dibawa ke mahkamah majistret di Johor pada 3.30 petang tadi.
Dia ditahan reman tiga hari sehingga 13 Jun bagi membantu siasatan polis.
Semalam, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata Tang diminta mengesahkan kewujudan Florence Goh di satu alamat di Johor Baru.
“Gerald Tang pergi ke sana dan mengesahkan yang Florence Goh (yang mengetuai NGO Care United JB) wujud dan surat Godfrey dihantar ke alamat berkenaan.
“Tang ditemani Adun Bukit Batu Jimmy Puah, ke balai polis Seri Alam untuk memberikan keterangan. Tetapi dia kini ditahan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan semalam.
Rafizi berkata tindakan polis itu bermula daripada laporan dibuat oleh Florence Goh.
Naib presiden PKR itu menuduh kerajaan mengupah syarikat berpangkalan di Washington The 45 Group untuk melobi kerajaan AS bagi pihak Malaysia. – 11 Jun, 2017.
Komen