TIADA halangan undang-undang untuk Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pakar undang-undang.
Untuk dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, perlulah menjadi ahli Parlimen dengan kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat sebagaimana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata mereka.
Perkara 43 (2) (a) menyatakan Yang di-Pertuan Agong melantik “ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan itu” sebagai perdana menteri.
Parti mana yang diwakili atau sama ada beliau ketua parti itu atau tidak juga tidak relevan, kata profesor undang-undang Universiti Malaya Azmi Sharom.
“Ia sangat mudah. Agong hanya perlu melantik ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti di dalam Dewan.
“Sekiranya kita lihat kepada Perlembagaan, peruntukan itu tidak ada kena mengena dengan parti politik, tidak mengatakan ahli Parlimen perlu menjadi pemimpin mana-mana parti.
“Sekarang ada ahli Parlimen yang mencukupi, tanpa mengira parti, di Dewan yang akan menyokong Dr Mahathir sebagai PM, walaupun kita ketepikan mereka yang daripada Warisan,” katanya.
Semasa sidang akhbar pagi tadi, Pengerusi BN Najib Razak berkata, partinya mengalami kekalahan mengejut dalam pemilihan dan tiada parti memenangi majoriti mudah dalam Dewan Rakyat.
Beliau berkata keputusan untuk melantik perdana menteri baru kini terletak di tangan Agong.
PH, yang diketuai pengerusinya Dr Mahathir, memenangi 113 kerusi persekutuan dalam pilihan raya semalam, termasuk sembilan daripada DAP di Malaysia Timur. Sekutu tidak rasmi, Warisan, memenangi lapan di Sabah.
BN hanya berjaya memenangi 79 kerusi. Malah kerjasama dengan PAS, yang memenangi 18 kerusi, tidak akan cukup untuk membolehkan BN mengekalkan Putrajaya.
Pagi ini, Dr Mahathir, yang memenangi kerusi Parlimen Langkawi, sepatutnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh di depan Agong, tetapi Istana Negara mengumumkan penangguhan upacara atas alasan keselamatan.
Pakar perlembagaan Dr Gurdial Singh Nijar berkata Najib menyifatkan PH tidak memenangi majoriti mungkin bagi menjaga air muka.
Kelewatan pihak istana katanya, mungkin kerana kita sedang berdepan dengan “sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini” - seorang ahli Parlimen bukan BN dilantik sebagai perdana menteri.
“Kita sedang berdepan dengan satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Mereka mungkin mahu melakukannya dengan betul dan mungkin untuk mengesahkan keputusan pilihan raya sebenar,” katanya.
Bagi semua calon PH yang bertanding di bawah logo PKR, Gurdial berkata Istana mungkin mahu mengesahkan dengan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli Parlimen mana yang mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan.
“Mereka mungkin mahu beberapa pengesahan. Jika ragu-ragu, mereka juga boleh memanggil ketua parti lain. Ini mungkin mengambil sedikit masa.
“Tetapi tidak ada keraguan jika mengikut Perlembagaan, Agong akan mempunyai petunjuk jelas tentang siapa yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat,” katanya. – 10 Mei, 2018.
Komen