Ibu Nhaveen mahu mulakan mogok di AGC


Ravin Palanisamy

Mendiang T Nhaveen, 18, diserang dalam satu insiden di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 9 Jun, 2017 yang menyebabkan kematiannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, – 5 April, 2024.

SHANTI Dorairaj, ibu kepada T. Nhaveen yang mati dipukul sekumpulan lelaki pada 2017, akan memulakan tindakan mogok di Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya mulai pagi hari ini sehingga dia mendapat jawapan berhubung kes itu.

Dia mahu penjelasan AGC mengenai status rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan lima tertuduh Oktober lalu.

Dia bersedia untuk memulakan bantahannya pada pukul 11 pagi hari ini sehingga mendapat maklumat terkini, walaupun ia bermakna dia terpaksa berada di sana selepas hujung minggu dan cuti Hari Raya akan datang, kata aktivis Arun Dorasamy.

Arun, pengerusi Nhaveen Action and Investigation League (NAIL), berkata Shanti telah memutuskan untuk “duduk dan tunggu” di bangunan AGC sebagai tanda protesnya sehingga dia mendapat maklumat terkini daripada Bahagian Rayuan dan Perbicaraan.

“Dia telah memutuskan untuk melakukan mogok di AGC dengan menunggu perkembangan terbaharu mengenai kes rayuan mendiang anaknya.

“Walaupun hari berikutnya sudah hujung minggu, dia akan menunggu. Tunggu sehingga dia mendapat kemas kini daripada Bahagian Rayuan dan Perbicaraan secara khusus atau lebih baik lagi AG sendiri.

“Ini telah berlarutan sejak berbulan-bulan dan sehingga hari ini, AGC tidak memberikan sebarang perkembangan terkini kepada ibu itu, yang telah banyak menderita dan kehilangan anak lelakinya,” kata Arun kepada The Malaysian Insight, sambil menambah orang ramai yang mengambil berat tentang perkara itu juga akan menyertai Shanti dalam protes berkenaan.

Arun berkata tidak ada pelanggaran undang-undang untuk AGC memberikan maklumat terkini kepada ibu remaja yang terbunuh itu.

Beliau berkata, ibu yang kecewa itu hanya ingin tahu sama ada notis rayuan telah disampaikan kepada lima tertuduh dan jika AGC akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan waran tangkap untuk mereka.

Arun berkata, permohonan waran tangkap itu selaras dengan peruntukan yang ditetapkan di bawah Peraturan 58(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Peraturan itu menyatakan bahawa sebaik sahaja notis rayuan difailkan oleh pendakwa raya, Mahkamah Rayuan boleh, atas permohonan oleh pendakwa raya, mengeluarkan waran mengarahkan supaya tertuduh ditangkap dan dibawa ke hadapannya.

Mahkamah Rayuan boleh memerintahkan supaya tertuduh direman di penjara sementara menunggu rayuan selesai atau membenarkan tertuduh diikat jamin.

Arun berkata, ibu, keluarga dan pasukan bertindak tidak dilayan oleh Bahagian Rayuan dan Perbicaraan apabila mereka pergi ke AGC di Putrajaya pada 26 Mac, bagi mendapatkan maklumat terkini.

Walaupun menunggu lebih enam jam, Arun berkata tiada sesiapa dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan bertemu Shanti untuk melayani permintaannya.

Sebaliknya, Arun berkata mereka baru ditemui pegawai perhubungan awam daripada AGC.

“Shanti tidak dapat mengawal emosinya dan menangis teresak-esak di lobi AGC.

“Apa lagi yang ibu boleh buat? Dia sudah cukup menderita dan kini AGC menambahkan lagi kesakitan kepadanya.

“Sehingga kini, pemerhati telah menghantar tujuh surat kepada AGC dan tiada jawapan.

“Malah permintaan Shanti untuk bertemu dengan ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan telah diabaikan.

“Mengapa mereka tidak diendahkan? Ada sesuatu yang tidak kena?” tanya Arun.

Kes akan digugurkan?

Pada 3 Oktober, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan lima orang yang dituduh membunuh Nhaveen, 18, pada 2017.

Dalam keputusannya, hakim Radzi Hamid berkata bahawa “terdapat kelemahan besar dalam kes pendakwaan terhadap tertuduh, dan dengan itu gagal membuktikan kes prima facie”.

AGC memfailkan notis rayuan tetapi tidak memberikan sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan sejak itu.

Arun telah beberapa kali meluahkan kekecewaannya atas kelewatan AGC untuk memberikan maklumat terkini.

Kerana kecewa, Shanti mahu mengadakan mogok lapar atas kelewatan itu.

Di sebalik segala rayuan dan tangisan, tiada maklumat terkini diberikan kepada ibu, enam bulan selepas AGC bersetuju untuk merayu.

Arun mendakwa berkemungkinan lima tertuduh dalam kes Nhaveen telah meninggalkan negara ini, dan mungkin kes itu hampir digugurkan.

“Saya berpendapat bahawa AGC tidak dapat menyampaikan notis kepada lima tertuduh secara peribadi kerana mereka telah melarikan diri dari negara ini.

“Dan itulah sebab mengapa tiada kemas kini kerana saya fikir kes itu hampir dibatalkan.

“Ini akan memalukan AGC kerana kami telah memberi amaran dan memberitahu mereka sejak hari pertama mengenai perkara ini,” kata Arun.

Pada 19 Jun 2017, lima tertuduh didakwa membunuh Nhaveen mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kesemua tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Menurut laporan, Nhaveen dikatakan dipukul lima orang lelaki ketika membeli burger pada waktu malam di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor.

Rakan Nhaveen yang bersamanya ketika kejadian berjaya melarikan diri.

Nhaveen kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di padang dengan kecederaan serius termasuk melecur di belakangnya dan tanda-tanda objek tumpul telah ditusuk ke dalam duburnya. Dia kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan itu. – 5 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen