KERAJAAN baharu Pakatan Harapan (PH) akan tetap mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bakal perdana menteri itu berkata, parti komponen PH seperti Bersatu, Amanah dan PKR menandatangani bahawa mereka akan mempertahankan Perlembagaan.
“Termasuk DAP yang dituduh sebagai parti rasis pada masa lalu,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
“Dan Perlembagaan sangat spesifik tentang bagaimana kita melayan orang-orang Melayu, bukan Melayu, agama Islam dan agama lain.”
Beliau berkata, Perlembagaan juga dengan jelas mengatakan bahasa apakah yang merupakan bahasa kebangsaan dan menghormati bahasa-bahasa lain.
“Ia sangat komprehensif. Dan kami semua menandatangani ini. DAP juga menandatangani.
“Saya mahu menegaskan, MCA dan MIC tidak menandatangani dokumen ini,” kata Dr Mahathir disambut dengan tepukan gemuruh pemimpin-pemimpin PH. – 10 Mei, 2018.
Komen