Muda mungkin bertanding solo lagi di KKB


Ravin Palanisamy

Muda mungkin bertanding sekali lagi di KKB menerusi PRK akan datang, dan tidak sokong mana-mana gabungan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2024.

MUDA sedang mempertimbangkan untuk bertanding di Kuala Kubu Baru (KKB) sekali lagi walaupun kalah pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, bakal mewujudkan pertandingan banyak penjuru dan menjadi pengukur kepada kerajaan Anwar Ibrahim.

Parti golongan belia itu berkata jika mereka memutuskan untuk bertanding, Muda tidak akan menyokong mana-mana gabungan politik.

Ketua penerangan media Muda Leben Siddarth memberitahu The Malaysian Insight pendirian parti itu adalah untuk menjadi kuasa ketiga, iaitu bermakna menolak idea untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), walaupun jika mereka tidak bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) itu.

Menerusi PRN pada Ogos lalu, Muda mencalonkan Dr Siva Prakash sebagai calon untuk kerusi KKB.

Beliau hanya mampu meraih 1,186 undi dalam pertandingan empat penjuru, di mana kerusi itu dimenangi Lee Kee Hiong daripada DAP/PH dengan majoriti 4,119 undi menewaskan Henry Teoh dari Gerakan.

Lee, yang juga adun tiga penggal di kawasan itu menang dengan 14,862 undi.

KKB dijangka mengadakan PRK susulan kematian Lee pada 21 Mac.

Muda kalah di semua kerusi yang ditandingi di Selangor pada PRN lalu.

“Sebagai parti, Muda akan kekal sebagai kuasa ketiga. Pendirian ini sama walaupun jika kami putuskan untuk tidak bertanding,” kata Leben.

“Namun, atas kapasiti individu, ahli parti yang mengundi di kawasan itu boleh memenuhi tanggungjawab mereka dengan mengundi sesiapa yang dikehendaki.

“Parti tidak akan mengarahkan ahli untuk mengundi parti tertentu.”

Satu-satunya wakil rakyat Muda Syed Saddiq Abdul Rahman dijangka menyertai program Jelajah PN selepas Ramadan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2024.

Pada September tahun lalu, Muda tarik diri daripada blok kerajaan dengan menyasarkan untuk menjadi kuasa ketiga politik.

Susulan keputusan Muda untuk meninggalkan blok kerajaan di Parlimen, ia menyebabkan sokongan terhadap pentadbiran Anwar, berkurangan.

Bagaimanapun, majoriti untuk kerajaan Anwar kemudian dikembalikan selepas enam wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Namun, awal tahun ini ada khabar angin berkenaan Muda mungkin menyertai PN.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan pembangkang itu akan mengadakan “Jelajah PN” di seluruh negara selepas Ramadan tahun ini.

Muhyiddin berkata satu-satunya wakil rakyat Muda Syed Saddiq Abdul Rahman akan menyertai program itu, mendakwa Syed Saddiq adalah “Pro-PN”.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi menafikan pembabitan mereka, berkata parti itu tidak pernah membuat keputusan atau membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Leben berkata Muda mengarahkan cawangan Selangor untuk menghantar laporan berkaitan kerusi di negeri itu.

Katanya, laporan itu akan dibentangkan di mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum keputusan dibuat.

“Kami akan mengadakan mesyuarat CEC pada 7 April dan akan membuat pengumuman berkenaan keputusan berkenaan selepas itu,” katanya.

Pada enam PRN tahun lalu, Muda meletakkan 20 calon, termasuk 14 di Selangor. Ia tewas semua kerusi dengan semua calonnya hilang wang deposit. – 4 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen