Teruskan khidmat kepada rakyat, kata KSN kepada kakitangan awam


The Malaysian Insight

SEMUA kakitangan awam di peringkat Persekutuan dan negeri termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan perlu terus melaksanakan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa.

Beliau turut menyeru mereka agar menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan negara, dan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita harus menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 sepertimana diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” kata Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mengikut Perlembagaan Persekutuan, semua penjawat awam akan terus berkhidmat selama mana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

PH semalam menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak Merdeka selepas mendapat jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan PH mempunyai sekurang-kurangnya 135 kerusi Parlimen bersama Parti Warisan Sabah dan beberapa wakil rakyat lain.

PH juga menang di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, selain mengekalkan mandatnya di Pulau Pinang dan Selangor. PAS pula menguasai Kelantan dan Terengganu, manakala Warisan akan membentuk kerajaan negeri di Sabah. – 10 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen