ANGIN perubahan menggoncang Sabah, tetapi masih ramai di negeri Borneo itu bimbang akan berulangnya krisis politik 1984 di mana berlakunya cubaan rampasan kuasa.
Johan Ariffi, ahli kumpulan bekas penjawat awam terkemuka G25 berkata rakyat Sabah menyaksikan ketika krisis 1984, di mana presiden Usno, allahyarham Mustapha Datu Harun cuba menjadikan dirinya dilantik sebagai ketua menteri walaupun tidak mendapat majoriti mudah.
Pada jam 1.40 pagi hingga 3 pagi tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman melakukan dua cubaan untuk berkunjung ke Istana Negeri tetapi dihalang oleh pengawal.
Khabar angin tercetus menyatakan Musa cuba melakukan sesuatu supaya dirinya dilantik sebagai ketua menteri, malah sebelum keputusan PRU14 belum diumumkan secara rasmi lagi.
Insiden sama berlaku terhadap Mustapha, yang masuk ke Istana Negeri dan kemudian dilantik sebagai ketua menteri daripada gabenor negeri pada masa itu, Tun Adnan Robert.
“Musa cuba untuk mengawal situasi itu sebelum keputusan akhir disahkan. Dengan berbuat demikian Musa memalukan dirinya dan Sabah,” kata Johan.
“Sekarang beliau tersepit tidak tahu ke mana memandangkan calon perdana menteri daripada blok pembangkang dan bukannya Umno.”
Warisan-PH pada masa ini terikat dengan BN menerusi 29 kerusi, dengan satu-satunya kerusi king maker adalah milik Presiden Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan.
Kecuali jika ada ahli politik lompat kapal, Sabah tersekat dengan politik yang terhenti tanpa mana-mana parti dapat membentuk kerajaan negeri.
Meskipun begitu, Johan berkata tidak perlu dibimbangkan kerana Warisan sealiran dengan PH.
“Jika Musa dapat membentuk kerajaan, dia masih perlu tunduk kepada persekutuan. Musa sudah tiada kuasa lagi,” katanya.
Sekitar jam 10 pagi hari ini, Pengerusi Warisan Shafie Apdal juga pergi ke Istana Negeri tetapi tidak dibenarkan masuk.
Beliau bercadang datang ke Istana Negeri sekali lagi pada jam 2 petang ini dalam cubaannya dilantik sebagai ketua menteri.
Presiden Upko Wilfred Tangau dilihat mengadakan perbincangan ringkas di kediaman Shafie, tetapi ketika ditanya mengenainya, Tangau hanya memberitahu media beliau akan kembali semula ke kediaman itu.
Sementara itu, sumber dalam kem BN berkata Musa masih berdiam diri walaupun beliau dijadualkan membuat pengumuman hari ini. – 10 Mei, 2018.
Komen