ISTANA Kedah hari ini mengumumkan penangguhan majlis angkat sumpah jawatan menteri besar baharu daripada Pakatan Harapan (PH), yang diumum memenangi negeri itu dengan majoriti mudah.
Penangguhan tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.
“Sukacita saya ingin maklumkan bahawa majlis tersebut ditangguhkan,” katanya seperti dipetik dalam kenyatan tersebut.
PH semalam menang 18 kerusi di Kedah. PAS pula menang 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) tiga kerusi.
Walau PH menang majoriti mudah, Dewan Undangan Negeri (Dun) kemungkinan berisiko tergantung kerana BN dan PAS mungkin menjalin kerjasama dan membentuk kerajaan campuran.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi PH Kedah Mukhriz Mahathir. Bekas menteri besar Kedah itu mengesahkan ada menerima jemputan daripada pihak Istana untuk menghadiri majlis angkat sumpah.
Sementara itu Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh mengesahkan PH menerima surat penangguhan tersebut.
“Ia kita ada menerima untuk tangguh hari ini, dan kita rasa mungkin esok pelantikan dibuat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Decides. – 10 Mei, 2018.
Komen