CUKAI barangan dan perkhidmatan (GST) akan dimansuhkan dan Akta Antiberita Tidak Benar akan dikaji semula, kata bakal perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Katanya GST akan dimansuhkan dan diganti dengan cukai jualan buat sementara waktu.
“Tiada sebarang pengurangan, (hanya) ada pembatalan,” katanya.
Mengulas mengenai Akta Antiberita Tidak Benar pula, beliau berkata undang-undang itu akan dikaji semula kerana pada masa ini ia dilihat hanya digunakan untuk menekan suara pembangkang.
“Kita tak mahu GST,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Dr Mahathir berkata selepas GST dimansuhkan, kerajaan baharu akan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Kita tidak mahu berita palsu. Tetapi sudah tentu undang-undang itu akan dikaji semula.
“Apakah dia benar-benar menentang berita tidak benar atau menentang ahli politik.
“Pada ketika ini kita melihatnya sebagai undang-undang untuk menutup mulut pembangkang,” katanya.
GST mula dilaksanakan pentadbiran Najib Razak pada 1 April, 2015 iaitu dua tahun selepas memenangi PRU13.
GST disalahkan sebagai punca kenaikan kos kehidupan.
Akta Antiberita Tidak Benar diluluskan Dewan Rakyat beberapa hari sebelum Najib mengumumkan pembubaran Parlimen.
Tidak lama selepas itu, Dewan Negara turut meluluskannya dan diwartakan menjadi undang-undang.
Dr Mahathir merupakan ahli politik pertama disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar dalam isu pesawatnya disabotaj semasa tempoh berkempen PRU14 yang lalu. – 10 Mei, 2018.
Komen