UM gugur jawatan dekan fakulti perubatan tanpa penjelasan


Ravin Palanisamy

Pihak pengurusan UM enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pemberhentian Profesor Dr April Camilla Roslani sebagai dekan Fakulti Perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2024.

PROFESOR Dr April Camilla Roslani, pakar terkemuka dalam bidang pembedahan kanser kolorektal, digugurkan daripada jawatan dekan Fakulti Perubatan di Universiti Malaya (UM).

Dr April, yang dilantik pada Disember 2020, diberhentikankan daripada jawatan tersebut pada pertengahan bulan lalu.

The Malaysian Insight mendapati proses pengguguran beliau tidak mengikut prosedur yang sewajarnya.

Ketika dihubungi, Pusat Komunikasi Korporat UM enggan mengulas mengenai perkara itu.

Pada mulanya, Pusat Komunikasi Korporat bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan mengenai pengguguran beliau.

Bagaimanapun, institusi pendidikan tertua dan terkemuka di Malaysia itu kemudian berkata tidak akan ada “kenyataan” daripada mereka buat masa ini.

Dr April adalah wanita tunggal yang dianugerahkan dengan fellowship American College of Surgeons (ACS) yang berprestij.

ACS adalah organisasi pakar bedah terbesar di dunia, dengan keahlian melebihi 82,000 orang di seluruh dunia.

Dalam laman web UM, universiti tersebut berkata kelayakan kepimpinan Dr April “tidak dipertikaikan”.

Bidang kepakaran beliau termasuk pembedahan kanser kolorektal, proktologi, latihan pembedahan, dan profesionalisme.

Pada 2007, beliau menubuhkan Unit Pembedahan Kanser Kolorektal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang kini adalah yang terbesar di negara ini, dan seorang daripada individu penting dalam latihan dan perkhidmatan kanser kolorektal di peringkat kebangsaan dan serantau.

Beliau juga menubuhkan perkhidmatan Pembedahan Sitoreduktif Malaysia (CRS) pertama dan Kemoterapi intraperitoneal hipertermik (HIPEC) di PPUM, yang disertai oleh pasukan pelbagai disiplin.

Beliau mendapat ijazah dari University of Wales College of Medicine pada 1995, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Pembedahan UM pada 2003.

Laman web UM juga menyatakan Dr April “berusaha meningkatkan standard pembedahan dan kesaksamaan di tempat kerja”.

Dalam catatan peribadi LinkedIn beliau, Dr April menyatakan “raison d’être” beliau adalah peningkatan perkhidmatan penjagaan kesihatan pembedahan di Malaysia.

“Sebagai dekan Fakulti Perubatan, UM, saya mempunyai peluang untuk memperluaskan pengaruh bidang saya, memberi kesan kepada arena klinikal dan bukan klinikal.”

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan komen daripada Dr April. – 1 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen