Kerajaan baharu dibentuk menjelang 5 petang, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan parti itu sepatutnya sudah dapat membentuk kerajaan kerana sudah meraih lebih 135 kerusi Parlimen.

“Kita berharap menjelang 5 petang ini akan dapat bentuk kerajaan. Sebarang kelengahan bermaknan kita tiada kerajaan,” katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Calon perdana menteri PH itu berkata, di dalam perlembagaan, seseorang perdana menteri boleh dilantik apabila beliau mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berhak untuk melantik seseorang sebagai perdana menteri,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Jelasnya, jumlah kerusi PH kini adalah 135 kerusi dengan tambahan kerusi parti Warisan dan beberapa parti lain di Sabah yang menyokong gabungan parti itu.

Parti berkenaan juga menyokong pelantikan beliau sebagai perdana menteri, katanya lagi.

Katanya, pemimpin parti terbabit menandatangani surat sokongan tersebut, yang akan dikemukakannya kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Dr Mahathir menegaskan, sekiranya perdana menteri tidak dilantik segera, negara ini tidak mempunyai kerajaan.

“Perkara pertama perlu dilakukan ialah melantik perdana menteri. Ini merupakan tugas Yang di-Pertuan Agong.

“Dan ini berdasarkan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan bukannya parti,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, peranan Najib Razak sebagai perdana menteri sementara sudah berakhir malam tadi.

“Seperti yang anda tahu, beliau membuat pengumuman dengan mengatakan beliau menerima kehendak rakyat.

“Dan beliau sudah kalah. Beliau tidak kata kami menang tetapi beliau tidak lagi memimpin kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang mengatakan masih menasihati kerajaan Dr Mahathir berkata: “Bullshit!” – 10 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen