NAJIB Razak kini dalam penafian.
Beliau enggan menerima kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti mudah. Sebaliknya Najib menyerahkan masa depan negara kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Dalam sidang akhbar yang ditungu-tunggu sejak malam tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau menerima keputusan rakyat tetapi nampaknya masih mencari jalan untuk terus kekal berkuasa.
“Saya menerima rakan-rakan saya menerima keputusan rakyat. Dan BN adalah komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen.
“Oleh kerana tidak ada sebuah parti yang dapat majotiti mudah maka Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan siapa yang bakal dilantik sebagai perdana menteri,” kata Najib.
“Mengikut Perlembagaan, lantikan ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ianya adalah berdasarkan prinsip siapa yang akan mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat.”
Inilah ucapan pertama Najib sejak PH diumum menang besar dalam PRU14.
Malaysia Decides dimaklumkan bahawa Najib menerima sokongan dari Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan campuran dan merancang untuk pihak lain yang menang untuk menyertai beliau.
Najib turut diiringi timbalan beliau, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.
Malam tadi, PH telah mengumumkan kemenangan dan berjaya membentuk kerajaan.
Awal pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PH menang 104 kerusi manakala sekutunya memperoleh sembilan kerusi di Sabah dan Sarawak, bermakna jumlah kerusi yang dimenangi ialah 113.
Sesebuah parti memerlukan 112 kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan Persekutuan.
Najib tidak menjawab sebarang pertanyaan media dan terus meninggalkan dewan selepas memberi kenyataan. – 10 Mei, 2018.
Komen