Kerjasama dengan Umno atau tidak, PAS Kedah tunggu keputusan parti


The Malaysian Insight

PAS tidak menolak sebarang kemungkinan untuk membentuk kerajaan negeri bersama Umno di Kedah selepas tiada gabungan parti berjaya mendapat majoriti mudah pada PRU14 semalam.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan kepimpinan negeri parti Islam itu sedang menunggu keputusan daripada PAS Pusat berhubung tindakan yang perlu diambil setelah parti memenangi 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Situasi Kedah ketika ini masih belum dapat membentuk kerajaan negeri walaupun Pakatan Harapan (PH) menguasai negeri itu dengan 18 kerusi DUN. Ia berikutan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri di Kedah ialah 19 kerusi.

Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dipetik sebagai berkata PAS sedia untuk berada dalam apa saja posisi sama ada menjadi pembangkang atau kerajaan di negeri, bergantung kepada PAS Pusat.

PAS menambah bilangan kerusi DUN menjadi 15 di Kedah, manakala Parlimen sebanyak tiga kerusi iaitu di Jerai, Pendang dan Sik.

“Kalau menjadi pembangkang, kami akan menjadi pembangkang yang kuat dan jika mahu membentuk kerajaan pula, apa yang paling mustahak ialah membentuk kerajaan yang stabil dari segi politik,” katanya pada sidang media khas di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, awal pagi ini.

PH menguasai Kedah selepas mendahului dengan 18 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRU14. BN memenangi tiga kerusi DUN dan PAS 15 kerusi.

Berhubung dakwaan bahawa PAS mahu menjadi penentu di Kedah, Fakhruddin berkata perkara itu tidak mustahil.

“Seperti diungkapkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini, PAS hanya akan bersama dengan gabungan yang boleh menerima tawaran kami,” katanya dipetik daripada Bernama. – 10 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen