RAKYAT Malaysia menjadi pemenang terbesar untuk PRU14 kerana berjaya menyingkirkan kerajaan. Tetapi pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak mungkin memandang rendah rasa tidak puas hati rakyat terhadap isu seperti rasuah dan kos sara hidup tinggi walaupun ia terserlah jelas di depan Barisan Nasional.
Ketika rakyat Malaysia menyaksikan peralihan kerajaan kepada Pakatan Harapan, di bawah ini senarai antara pemenang dan mereka yang kalah pada PRU14.
Pemenang
Calon muda
Calon seperti Young Syefura Othman, Syed Saddiq Abdul Rahman, Fahmi Fadzil, Yeo Bee Yin dan ramai lagi mencetuskan harapan baharu bahawa perubahan itu mungkin berlaku dan golongan muda mampu menerajui negara. Mengetepikan kebencian, mereka bercakap tentang harapan dan memberi inspirasi kepada pengundi untuk berarak di belakang mereka menentang penyandang yang lebih berpengalaman.
Dr Mahathir Mohamad
Pada usia 92 tahun, Dr Mahathir menunjukkan kepimpinan untuk menyelamatkan pembangkang selepas PAS keluar. Bersamanya, Pakatan Harapan menemui disiplin dan struktur yang memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk mengundi pembangkang menjadi kerajaan.
Sepanjang kempen, Dr Mahathir bekerja lebih keras berbanding orang lain dengan pergi dari negeri ke negeri untuk berkempen untuk Pakatan Harapan. Ditambah lagi, beliau kekal tenang dalam merancang pelan taktikal untuk mengakhiri pemerintahan 60 tahun BN.
Veteran Umno
Penampilan bekas menteri Rafidah Aziz, Daim Zainuddin, Rais Yatim dan Syed Hamid Albar tepat pada masanya sebagai sokongan terbaik dan pengiktirafan untuk PH. Keterangan mereka membantu kredibiliti desakan PH untuk perubahan dan BN perlu diganti.
Yang kalah
Najib Razak
Walaupun puas menabur pelbagai gula-gula kepada rakyat ketika berkempen sehingga ke malam sebelum membuang undi, rakyat Malaysia menolak BN dan menunjukkan kepada Najib bahawa wang bukan raja.
Di bawah Najib, BN hilang lebih 50 lagi kerusi, enam menteri, dua menteri besar dan lima negeri. Apa yang akan dia buat sekarang? Semua menanti sidang akhbar jam 11 pagi ini.
Pendaftar Pertubuhan
Ketua pengarah RoS Surayati Ibrahim mengarahkan Bersatu dibubarkan sementara dan mengarahkan tidak menggunakan logo atau mengadakan sebarang aktiviti, dua hari sebelum Parlimen dibubarkan. Pada masa sama, Surayati terlepas pandang kesahan Umno, yang tidak mengadakan pemilihan parti sejak 2013.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
Di bawah Mohd Hashim Abdullah, hari membuang undi ditetapkan pada Rabu, kertas undi tiba terlalu lambat untuk pengundi di luar negara, persempadanan semula kawasan untuk mengasingkan Melayu daripada bukan Melayu dan peraturan baharu diperkenalkan selepas Parlimen terbubar.
Tambahan lagi, ketika rakyat Malaysia menunggu keputusan, Hashim hanya muncul pada jam 12.30 pagi memberikan alasan remeh kerana kelewatan mengeluarkan keputusan. Tetapi 10 minit kemudian beliau muncul lagi mengumumkan keputusan dan kemudian keputusan lain terus keluar.
Parti komponen
MCA, Gerakan dan MIC hilang presiden mereka sementara Gerakan hilang semua kerusi Parlimen. MyPPP juga hilang kerusi tunggal yang ditandingi di Segambut. Kerelevanan parti-parti ini akan dipertikaikan lagi. – 10 Mei, 2018.
Komen