Pakatan Kedah tunggu pengesahan siapa bakal menteri besar, kata Mukhriz


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan (PH) Kedah tidak akan mengumumkan calon menteri besarnya sehingga mendapat mandat daripada pucuk pimpinan tertinggi, kata pengerusinya Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata pihaknya masih menunggu surat pelantikan daripada Majlis Tertinggi PH.

“Esok (Khamis) kita diundang untuk majlis angkat sumpah, walau begitu kita masih belum mendapat mandat sepenuhnya oleh pimpinan tertinggi.

“Kita masih menunggu surat pelantikan. Jadi PH Kedah tidak akan dapat umum calon menteri besar lagi,” katanya pada sidang media di Alor Setar Kedah, awal pagi tadi.

Majlis angkat sumpah menteri besar Kedah yang baru dijangka akan berlangsung petang ini.

Mukhriz merupakan bekas menteri besar Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam strategi Umno menawan semula Kedah setelah kalah kepada PAS pada PRU12.

Beliau bagaimanapun kemudian meletakkan jawatan selepas hilang kepercayaan daripada pasukannya kerana lantang mengkritik Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal pagi tadi mengumumkan PH menang 18 kerusi sementara PAS menang 15 dan BN 3. Kedudukan ini mencetuskan risiko DUN tergantung sekiranya PAS menjalin kerjasama rasmi dengan BN.

Pada PRU14 semalam, Mukhriz menang kerusi Parlimen Jerlun dan kerusi negeri Jitra. – 10 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen