DEWAN Undangan Negeri Kedah berdepan risiko tergantung kalau PAS memutuskan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sekaligus menjadikan kedudukan kerusi di dewan itu terikat 18-18, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Mukhriz Mahathir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal pagi tadi mengumumkan PH menang 18 kerusi sementara PAS menang 15 dan BN 3.
Mukhriz bagaimana yakin kedudukan DUN Kedah tidak akan sampai ke tahap itu kerana pihaknya akan cuba memujuk “parti lain” untuk menyertai PH.
“Memang ada risiko. Tapi kita tunggu sehari dua mungkin kita akan pujuk parti lain untuk sertai kita.
“Kita pun dulu daripada Umno dan kemudian kita tubuhkan Bersatu,” katanya pada sidang media di Alor Setar Kedah selepas PH sah memenangi negeri itu.
BN menang tiga kerusi DUN di kawasan Sungai Tiang, Kulim Bandar Baru dan Guar Chempedak.
PH memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk majoriti mudah membentuk kerajaan negeri. DUN Kedah mempunyai 36 kerusi.
Penganalisis politik, Mohd Azizuddin Mohd Sani sebelum ini meramalkan DUN Kedah akan tergantung dan PAS akan muncul sebagai kuasa penentu.
PAS bagaimanapun membuat kejutan apabila mengatasi jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN dalam pertandingan tiga penjuru di hampir semua 36 kerusi DUN di negeri itu.
Sementara itu, BN menang dua kerusi Parlimen di Kedah iaitu Baling dan Padang Terap manakala PAS menang tiga kerusi iaitu Pendang, Jerai dan Sik. Baki 10 kerusi Parlimen lagi dimenangi oleh PH. – 10 Mei, 2018.
Komen