KEPUTUSAN rasmi kerusi Sabah tergantung apabila Barisan Nasional (BN) dan gabungan Warisan-Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang 29 kerusi negeri.
Baki dua lagi kerusi di Bingkor dan Tambunan pula dimenangi oleh satu lagi parti pembangkang negeri, Star Sabah pimpinan bekas naib presiden PKR Jeffrey Kitingan.
Presiden Warisan Shafie Apdal yang sebelum ini menyatakan kesediaan bersama dengan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad di peringkat persekutuan pula akan mengadakan sidang media awal pagi ini untuk mengumumkan “berita gembira.”
Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan sebarang maklumat walaupun media difahamkan sudah bertemu Star selepas tengah malam tadi.
Di peringkat Parlimen pula, Warisan-PH menang 13 kerusi manakala BN pula hanya mendapat 11 kerusi. Jeffrey turut memenangi kerusi Parlimen Keningau menewaskan abangnya yang juga penyandang timbalan ketua menteri dan Presiden PBS Joseph Pairin Kitingan dengan majoriti hanya 45 undi.
Sementara itu, ketika dihubungi, Jeffrey mengakui menerima beberapa panggilan daripada kedua-dua pemimpin BN dan Warisan yang cuba merayu kepadanya.
Sabah menyaksikan kekalahan dua lagi penyandang timbalan ketua menteri iaitu Yahya Hussin yang tewas di Petagas dan Raymond Tan di Tanjung Papat.
Beberapa pencadangnya, menteri persekutuan turut tewas seperti Mary Yap di Parlimen Tawau, Salleh Said Keruak di Parlimen Kota Belud dan Rahman Dahlan di Sepanggar. – 10 Mei, 2018.
Komen