KERAJAAN baharu Pakatan Harapan (PH) tidak akan membalas dendam terhadap pemimpin-pemimpin daripada kerajaan lama, kata bakal Perdana Menteri ke tujuh, Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, keutamaan kerajaan pimpinannya adalah untuk menegakkan kembali undang-undang.
“Kami tidak akan membalas dendam,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada sidang media jam 3 pagi di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya apakah tindakan segera akan diambil terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Apabila ditanya sekiranya Najib menghubunginya, Dr Mahathir mengatakan beliau masih belum berhubung dengan Najib selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
“Saya tak dengar daripada Najib. Dia berdiam diri.”
Najib terpalit dengan skandal 1MDB yang melanda negara dan menyebabkan kemarahan pengundi yang menyingkirkan Barisan Nasional daripada tampuk kuasa.
PH akan mendapatkan pengampunan diraja untuk pemimpin PKR Anwar Ibrahim.
“Kami akan berusaha mendapatkan pengampunan Anwar. Dia akan dibebaskan pada Jun nant. Sebaik sahaja diampunkan, dia perlu bertanding pilihan raya dan jadi ahli Parlimen kerana perdana menteri perlu ahli Parlimen, atau sekurang-kurangnya senator,” jelas Dr Mahathir. – 10 Mei, 2018.
Komen