KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Barisan Nasional (BN) akan menerima dan menghormati kehendak rakyat yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum hari ini.
“Jelas sekali kita akan menerima kehendak rakyat tetapi perdana menteri akan mengeluarkan kenyataan. Esok kita akan mengadakan sidang media.
“Walau apa pun, kita perlu menghormati kehendak rakyat dan perlu kita pastikan keputusan pilihan raya dihormati dan kita teruskan,” katanya kepada wartawan kira-kira jam 1.55 pagi ini.
Tambahnya, Najib dijangka akan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi hari ini.
Khairy ditemui selepas hadir ke kediaman Pengerusi BN Najib Razak di Jalan Tuanku Abdul Halim.
Menteri belia dan sukan sementara itu adalah pemimpin kanan BN yang kedua secara rasmi membuat kenyataan yang membayangkan gabungan pemerintah itu kalah dalam PRU14.
“Rakyat Malaysia sudah bersuara. Dan suara rakyat adalah keramat.
“Selamat maju jaya, Malaysia dan terima kasih kepada semua pengundi kerana melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” tulisnya di Twitter pada pukul 12.20, awal pagi ini.
Kenyataan Khairy itu menyusul kenyataan yang dibuat Menteri Kewangan Kedua sementara, Johari Ghani yang mengakui kekalahannya di kerusi Parlimen Titiwangsa.
Johari kalah kepada calon PKR, Rina Mohd Harun yang juga ketua sayap wanita Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya setakat ini masih belum mengumumkan parti yang menang Pilihan Raya Umum ke-14. – 10 Mei, 2018.
Komen