PAS boleh jadi king maker di Perak


The Malaysian Insight

PAS boleh jadi penentu untuk kerajaan baru yang akan dibentuk di Perak setelah menang 3 kerusi negeri ketika Pakatan Harapan berjaya menang 29 dan Barisan Nasional meraih baki 27 kerusi, berdasarkan keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sekiranya PAS menjalin kerjasama rasmi dengan BN di Perak, gabungan dua parti itu akan mempunyai 30 kerusi mengatasi PH dengan hanya satu kerusi.

Dewan undangan negeri Perak mempunyai 59 kerusi.

Sumber-sumber dari PKR dan PAS memaklumkan PH telah membuka rundingan dengan parti Islam itu tetapi belum ada sebarang hasil.

Perak adalah antara negeri yang menyaksikan pertembungan paling sengit dengan beberapa kerusi negeri dimenangi tipis dengan kelebihan serendah 39 undi seperti di kerusi DUN Chenderiang yang dimenangi ketua Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu. DUN Changkat Jong pula dimenangi oleh BN dengan kelebihan 67 undi.

Menteri Besar kerajaan sementara Perak, Zambry Abdul Kadir kekal di DUN Pangkor dengan majoriti 1,626 undi, merosot daripada kelebihan 5,124 yang dimenanginya pada PRU13.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen