4 lelaki didakwa curi tandas emas


Mangkus tandas yang berfungsi sepenuhnya itu dikenali sebagai “Amerika” di Istana Blenheim di Woodstock, berhampiran Oxford. – Gambar AFP, 21 Januari, 2024.

EMPAT lelaki dihadapkan ke mahkamah UK pada Jumaat atas tuduhan mencuri tandas emas 18 karat bernilai £4.8 million (AS$6.1 million) dari sebuah pameran seni yang berlangsung di England.

Mangkus tandas yang berfungsi sepenuhnya itu dikenali sebagai “Amerika” di Istana Blenheim di Woodstock, berhampiran Oxford.

Ia adalah tarikan utama pameran artis Itali Maurizio Cattelan di hartanah 18 kurun itu, yang juga tempat lahir perdana menteri era perang Winston Churchill dan rumah Duke of Marlborough.

Ketika pendengaran kes di Mahkamah Oxford di selatan England, James Sheen, Michael Jones dan Frederick Sines, kesemuanya dalam usia lingkungan 30-an, mengaku tidak bersalah mencuri mangkus tandas pada pagi 14 September, 2019.

Bora Guccuk, 40, tidak diminta membela diri atas dakwaan bersubahat memindahkan barang rompakan.

Pengunjung pameran di Istana Blenheim, sebuah Tapak Warisan Dunia Unesco, boleh menempah slot menggunakan tandas itu selama tiga minit.

Lebih daripada 100,000 orang menggunakan tandas tersebut ketika ia dipamerkan di Muzium Guggenheim, New York.

Polis British berkata pencuri itu menceroboh Istana Blenheim pada masa ia ditutup dan melarikan tandas itu sehingga menyebabkan kerosakan kepada paip dan kebocoran air. – AFP, 21 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen