Mengaku kalah sajalah Najib, tak perlulah Pelan B


The Malaysian Insight

NAJIB Razak sedang merencanakan sesuatu dengan orang kanannya, cuba menghadam kejutan tsunami Dr Mahathir sambil merancang Pelan B.

Apakah Pelan B itu, ia masih menjadi tanda tanya. Namun hakikat bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan mengesahkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) memberi isyarat yang suatu helah sedang dijalankan di belakang tabir.

Untuk mengatakan yang Najib Razak terkejut dengan kekalahan menteri-menterinya dan juga peristiwa kejatuhan beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Johor ke tangan PH bukanlah suatu kenyataan yang tepat.

Lewat pukul 5 petang, beliau memberitahu pembantunya bahawa 125 kerusi akan dikuasai mereka dan jika nasib menyebelahi Barisan Nasional (BN), gabungan itu mungkin menang lebih 130 kerusi.

Najib dan orang kanannya meremehkan amanat khas yang disampaikan Dr Mahathir semalam, mengatakan ia tidak bermakna apa-apa.

Menjelang pukul 10.30 malam, sudah jelas bahawa Najib telah tersilap langkah apabila memperkecilkan usaha yang dibawa Dr Mahathir. Beliau merasakan yang BN mampu mempertahankan Parlimen.

Liow Tiong Lai, S Subramaniam, Shahrir Samad, Nur Jazlan Mohamed, Johari Ghani, Chua Tee Yong, Johari Baharom, Mah Siew Kong.

Kesemua nama ternama ini tenggelam dalam gelombang tsunami Dr Mahathir.

Tsunami Melayu yang diharapkan Daim Zainuddin dan juga pemimpin PH kini benar-benar berlaku.

Pakar Perlembagaan bimbang Najib akan menggunakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan darurat.

Selagi SPR tidak mengesahkan keputusan tersebut, ia akan kekal sebagai keputusan tidak rasmi dan Dr Mahathir bersama pemimpin PH lain tidak dapat mengangkat sumpah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Apa yang pastinya, amat dangkal jika Najib menyangka yang beliau boleh menghalang kemenangan PH.

Amat dangkal untuk Najib merasakan yang beliau boleh menipu rakyat Malaysia.

Tidak sepatutnya ada Pelan B atau Pelan C untuk Najib.

Beliau hanya perlu melaksanakan Pelan A: terima kekalahan dan kehendak pengundi Malaysia.

Perkara-perkara seperti Pelan B atau Pelan C tidak akan dilayan.  – 9 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen