SELEPAS lebih 5 jam wartawan dalam dan luar negara berada di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tiada petanda Perdana Menteri sementara Najib Razak akan hadir seperti pilihan raya umum yang lalu.
Pimpinan-pimpinan tertinggi Umno dari jam 9.40 malam tadi beransur pulang selepas hadir ke bangunan PWTC antaranya Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil, Ahli Majlis Tertinggi Umno Sohaimi Shahadan dan bekas ahli parlimen Setiawangsa Fauzi Jahari.
Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh dilihat kali terakhir meninggalkan perkarangan PWTC pada 12.10 minit tadi.
Apabila ditanya wartawan, adakah Najib Razak akan datang ke PWTC, beliau tidak memberikan sebarang respon dan hanya berkata mahu pergi makan.
“Nak pergi makan,” kata Rauf apabila ditanya wartawan.
Setakat ini, keadaan PWTC dipenuhi wartawan dan puluhan penyokong Barisan Nasional yang masih menanti Najib Razak dan pimpinan tertinggi BN yang lain. – 9 Mei, 2018.
Komen