Shafie dakwa Warisan menang, tetapi SPR tak mahu sahkan


The Malaysian Insight

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya menandatangani Borang 14 untuk mengesahkan kemenangan parti beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen dan negeri Sabah. 

Menurut Shafie, gabungan Warisan, PKR dan DAP negeri itu telahpun berjaya memenangi majoriti kerusi termasuk kerusi Pengerusi BN Sabah Musa Aman di Sungai Sibuga berdasarkan maklumat ejen dan ahli partinya yang berada di situ,

“Berdasarkan maklumat dari PDM kita, kita sudah pun mendapat kerusi yang mencukupi. 

“Maklumat yang saya dapat setakat ini ialah Datuk Musa Aman telahpun kalah di Sungai Sibuga. Tapi SPR tak nak umumkan sebab itu keadaan amat membimbangkan kita,” kata beliau dalam sidang media di kediamannya di Kota Kinabalu sebentar tadi. 

Sidang media itu turut dihadiri pemimpin Warisan, PKR dan DAP yang lain. 

Borang 14 merupakan borang bukti jumlah undi berdasarkan tempat membuang undi masing-masing. 

Menurut Shafie lagi, hal itu dikesan berlaku di beberapa tempat seperti di Kimanis, Batu Sapi, Keningau dan beberapa lagi. 

Beliau turut meluahkan rasa hairan mengapa SPR mempunyai kesukaran untuk mengira jumlah undi sedangkan pengiraan undi di setiap tempat mengira undi boleh dilakukan dengan mudah sebelum ini. 

Beliau turut mahukan BN, SPR dan Musa sendiri menerima keputusan Rakyat. 

“Mengalahlah dengan pilihan rakyat. Suara rakyat dah putuskan keputusan. Terima lah, sudah jam berapa sekarang ini?” kata beliau. 

Warisan yakin telahpun menang sekurang-kurangnya 31 daripada 60 kerusi negeri membolehkan mereka mengambil alih kerajaan negeri. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen