Dr Mahathir bimbang Najib guna akta MKN jika BN kalah PRU14


The Malaysian Insight

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad bimbang kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) akan menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya keputusan PRU14 tidak memihak kepada mereka.

Calon perdana menteri PH itu berkata, Pengerusi BN Najib Razak pada ketika ini sedang bermesyuarat dengan pegawai tinggi kerajaan termasuk tentera dan polis.

“Saya berharap dan berdoa rakyat bertanggungjawab untuk memastikan undang-undang dihormati dan tidak akan menerima sekiranya undang-undang keselamatan baharu digunakan,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Beliau mendakwa, Najib disokong sesetengah pihak berkuasa dan menyeru mereka mengutamakan negara berbanding individu.

“Mereka sepatutnya memikirkan tentang ini, terutamanya polis dan anggota bersenjata,” katanya.

Bekas perdana menteri itu menegaskan rakyat Malaysia tidak akan bertolak ansur sekiranya Najib mengisytiharkan darurat.

“Rakyat Malaysia tidak ganas, tetapi saya tidak fikir mereka akan membenarkan perkara seperti ini untuk berlaku,” katanya dengan mengambil contoh kes bekas presiden Filipina, Ferdinand Marcos. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen