HAMPIR 300 orang berkumpul berhampiran pintu masuk Pejabat Perdana Menteri dengan ramai antara mereka memegang bendera Parti Keadilan Rakyat sementara menunggu keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dipercayai dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Keluarga lima beranak Zarul Nizam dari Lembah Pantai antara mereka yang berkumpul di Putrajaya seawal jam 5 petang tadi.
Lelaki berusia 46 tahun dan keluarganya itu yakin yang kali ini keputusan pilihan raya akan memihak kepada PH disebabkan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tak pernah lihat khalayak seperti ini pada 2008 atau 2013 bila BN dinafikan majoriti besarnya. Kali ini saya merasakan ia akan berlaku (PH ambil alih Putrajaya),” katanya.
Jumlah orang semakin meningkat seiring dengan masa. Mereka meletakkan kereta di tepi jalan sementara menunggu keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – 9 Mei, 2018.
Komen