Impian 28 kerusi BN Sarawak berkecai


The Malaysian Insight

KEANGKUHAN Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk menang “sekurang-kurangnya 28 kerusi” hancur berkecai apabila kalah lima kerusi lagi dan gagal merampas enam kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Malah, BN dikejutkan apabila dua calon bebas- Larry Sng di Julau menewaskan ahli Parlimen empat penggal dan bekas timbalan menteri maklumat, komunikasi dan kebudayaan Joseph Salang Gandum dan Jugah Muyang menang di kerusi Lubok Antu.

Lima kerusi baru, selain Julau dan Lubok Antu yang dimenangi PH adalah Mas Gading, Puncak Borneo dan Selangau. Di Selangau, Pengerusi PKR negeri Baru Bian menang dengan margin tipis menentang satu-satunya calon wanita PRS, Rita Insol.

Baru menang dengan hanya majoriti undi 486. Beliau meraih 11,228 undi berbanding 10,742 milik Rita, menjadikan ia salah satu kemenangan paling tipis dan diluar jangka di negeri itu dan menjadi Orang Ulu pertama menang di kerusi majoriti Iban.

Reputasi tidak pernah kalah satu kerusi dalam pilihan raya juga tercalar apabila hilang kerusi majoriti Bidayuh, Puncak Borneo sementara Sarawak United People’s Party (SUPP) masih mempertahankan kerusi Serian yang dipertahankan timbalan presiden dan bekas Menteri Sumber Manusia Richard Riot.

Kekalahan parti komponen pemerintah terbesar adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang hilang tiga daripada enam kerusinya- Julau, Selangau dan Lubok Antu.

Kehilangan Selangau dan Lubok lebih kontroversi kerana Presiden PRS James Masing memecat orang kanannya, timbalan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Joseph Entulu (Selangau) dan Wiliam Nyalau Badak (Lubok Antu) dua hari sebelum penamaan calon kerana didakwa “bekerja menentang kepentingan parti.” – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen