MENTERI di Jabatan Perdana Menteri sementara Dr Wee Ka Siong berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam selepas menewaskan Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong dengan 303 undi.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Wee memperolehi 17,076 undi manakala Liew memperolehi 16,773 undi, sementara calon PAS Mardi Marwan memperolehi 4,975 undi.
Pada Pilihan Raya Umum 2013, Wee menewaskan calon PAS Hu Pang Chaw dengan 7,310.
Sementara itu, Liew berkata Pakatan Harapan mempunyai peluang yang cerah untuk membentuk kerajaan akan datang.
“Berdoalah untuk peralihan (kuasa) yang lancar,” kata Liew di Facebook.
Walaupun keputusan untuk kerusi Parlimen Ayer Hitam belum diumumkan secara rasmi, Liew berkata dia sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu dalam kempen Ayer Hitam. Ia telah menjadi satu pengalaman hebat.
“Kempen ini telah menghiasi tajuk-tajuk utama berita, dan kerusi Barisan Nasional yang dahulunya selamat ini sudah ditembusi,” kata Liew.
Liew menyeru semua penyokongnya untuk pulang ke rumah dan tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap sebarang provokasi. – 9 Mei, 2018.
Komen