PARTI Warisan Sabah pimpinan Shafie Apdal dijangka akan membentuk kerajaan negeri di Sabah selepas partinya mendahului di 32 daripada 60 kerusi di dewan undangan negeri (DUN), kata sumber dalaman parti.
Warisan, yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), juga yakin menang sekurang-kurangnya tujuh daripada 16 kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Shafie turut dilaporkan menang kerusi Parlimen Semporna.
Setakat ini, hampir tiada keputusan rasmi dikeluarkan dari Sabah kerana proses pengiraan masih berjalan di kebanyakan pusat pengiraan undi di seluruh kerana ada bantahan dan pengiraan semula.
Suasana di kediaman Shafie di Kota Kinabalu ceria walaupun belum ada keputusan rasmi yang tiba.
Selain Shafie, beberapa pemimpin kanan Warisan seperti timbalan presiden Darell Leiking, setiausaha agung Loretto Padua Jr dan bendahari Terrence Siambun ada bersamanya namun mereka enggan memberi sebarang komen kepada wartawan.
“Tunggu dulu,” kata Darell sambil tersenyum ketika ditanya perkembangan keputusan rasmi.
Presiden SAPP Yong Teck Lee, sebuah lagi parti pembangkang di Sabah, pula dalam pada itu mengeluarkan satu kenyataan mengatakan PRU14 membuka “era baru Sabah tanpa BN”. SAPP tidak bergabung dengan Warisan dan PH dalam PRU14 ini.
Sementara itu di Sri Gaya, kediaman rasmi ketua menteri sementara Musa Aman, suasana agak suram dan hambar. Sejumlah calon Barisan Nasional kelihatan berhimpun di sana.
Jalan masuk menuju Sri Gaya turut dikawal rapi oleh polis manakala orang awam hanya dibenarkan melepasi kawalan. Jalan itu turut menuju ke Istana Negeri, tempat bakal ketua menteri baru mengangkat sumpah di hadapan yang dipertua negeri. – 9 Mei, 2018.
Komen