KEKECOHAN tercetus di luar pagar pusat penjumlahan undi Parlimen Ayer Hitam di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seth, Johor apabila penyokong Pakatan Harapan (PH) merampas dua peti undi daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Kira-kira 100 penyokong PH itu berkumpul di hadapan pintu pagar sekolah berkenaan menghalang kenderaan yang membawa peti undi untuk ke pusat penjumlahan undi tersebut.
Dalam kekecohan mereka berjaya mengeluarkan dua peti undi daripada kereta Proton Persona yang dipandu petugas SPR sebelum pihak polis terpaksa campur tangan.
Mereka juga melaungkan “Bersih” berulang kali dan mengarahkan peti undi itu dibuka sambil menepuk-nepuk kenderaan berkenaa.
Pegawai SPR berkenaan bagaimanapun berjaya membawa masuk peti undi selepas mereka berpuas hati.

Pasukan LSF tiba menaiki empat buah trak di lokasi bagi menyuraikan keadaan dan meminta penyokong bersurai.
Insiden tolak menolak turut berlaku selepas beberapa individu bertindak memukul anggota LSF.
Mereka menjerit “polis semua busuk” dan “bersih” berulang kali.
Kerusi Parlimen Ayer Hitam menyaksikan pertembungan antara Wee Ka Siong dari Barisan Nasional (BN) dan Liew Chin Tong dari PH serta calon PAS Mardi Marwan.
Maklumat tidak rasmi menyatakan BN menang dengan majoriti 2,341 dengan undi 10,395. Chin Tong (PH) meraih 8054 dan Mardi daripada PAS meraih 2,598.
Penyandang Adun Yong Peng, Chew Peck Choo tiba di pusat penjumlahan undi Parlimen Ayer Hitam di SMK Dato Seth dan menenangkan penyokong PH.
Beliau memberi jaminan kepada penyokongnya akan memantau proses pengiraan.
Pihak polis turut memberikan kebenaran untuk beliau menggunakan pembesar suara mereka bagi menyuraikan penyokonnya.
“Saya amat menghargai penyokong PH tapi suasana ini perlu dalam keadaan tenang jadi kita nak satu pilihan raya aman dan damai.
“Saya menyeru semua penyokong minta tolong bersurai dan balik ke rumah masing masing. Sekian terima kasih,” katanya disambut tepukan penyokong PH.
“Semua isu telah selesai, semua Borang 14 telah dapat, minta penyokong bersurai,” katanya lagi. – 9 Mei, 2018.
Komen