PRABAKARAN Parameswaran kini adalah ahli Parlimen termuda selepas menang kawasan Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dilahirkan pada 8 Februari 1996 di Sentul, Prabakaran adalah generasi keempat keluarganya yang tinggal di Sentul. Datuknya pernah bekerja sebagai penjaga stesyen Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Anak bongsu keluarga empat beranak itu memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas di Batu untuk “ mendekati golongan belia dan mewujudkan kesedaran sosial tentang politik”.
Tanpa disedarinya pada 28 April 2018, beliau menjadi tumpuan negara selepas ahli Parlimen Batu dua penggal sebelum ini Chua Tian Chang hilang layak selepas didenda RM2000.
“Selepas itu saya dapat peluang bekerja dengan PH, disokong mereka, jadi sekarang saya di sini,” katanya.
Prabakaran adalah pelajar tahun kedua jurusan undang-undang di Brickfields Asia College, dan harapannya adalah untuk menyeimbangi tugasnya selaku ahli Parlimen dan tanggungjawabnya sebagai pelajar.
Katanya, beliau dibesarkan dengan pegangan mendahulukan keluarga terutama sekali oleh ayahnya yang berusia 55 tahun, seorang perunding hartanah yang sangat rapat dan disanjungnya.
Prabakaran mengatakan walaupun disokong Pakatan Harapan, buat masa sekarang dia akan kekal sebagai calon bebas.
“Orang datang bertanya, ‘kenapa muda sangat, mampu ke berkhidmat untuk rakyat, tiada pengalaman dan pendedahan, bagaimana anda nak survive di Parlimen?”
“Saya jawab usia bukan penghalang bila masuk politik. Bila jadi pemimpin, usia bukan faktor penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Jika saya datang dan tanya sama ada anda perlukan bantuan, adakah anda akan tanya umur saya dahulu?” – 9 Mei, 2018.
Komen