BN hilang kerusi Sarawak kerana salah jangka kemarahan rakyat


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional (BN) Sarawak hilang lima kerusi Parlimen di pendalaman disebabkan pemimpin BN negeri gagal memahami kemarahan pengundi terhadap Perdana Menteri Najib Razak, kata penganalisis.

“Ini perubahan menyeluruh. Sarawak tidak lagi boleh dianggap negeri deposit tetap,” kata James Chin, pengarah Asia Institute Tasmania.

Sarawak mempunyai 35 kerusi Parlimen, 24 daripada adalah kerusi luar bandar atau separa luar bandar.

PKR menang di tiga kerusi luar bandar- Selangau, Puncak Borneo dan Saratok- DAP pula merampas Mas Gading. Calon bebas, Larry Sng, bekas pembantu menteri menang di Julau. Beliau dikatakan berhubung rapat dengan Pakatan Harapan.

PH juga mengekalkan Bandar Kuching, Miri dan Sarekei.

Chin berkata kejayaann bermaksud politik wang sudah tidak lagi berkesan untuk menjamin kemenangan.

“Ini bermakna untuk orang Iban dan Bidayuh, mereka yang duduk di rumah panjang, wang sudah tidak lagi memadai.

“Mereka tahu BN toksik. Ketika berkempen, Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg sendiri menjarakkan dirinya daripada Umno walaupun masih bersama BN. Ini bermakna rakyat tahu mereka menipu.

“Abang Johari adalah naib pengerusi BN. Begitu juga dengan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian. Ini bermakna rakyat dah tak percaya retorik mereka lagi.”

Chin menambah yang kumpulan nasionalisme Sarawak tidak boleh menghapuskan “pandangan yang mereka orang suruhan Umno,” katanya.

Chin berkata kemarahan pengundi bukan sahaja tentang GST atau kos sara hidup: “Terdapat kejatuhan undi popular sejak 2008. Cuma sekarang rakyat dapati korupsi Najib Razak sangat melampau.

Tambahnya lagi, “sama ada suka atau tidak, orang tua menyokong Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka sekarang nampak Najib macam budak lelaki. Dalam amanat terakhirnya, Dr Mahathir bercakap tentang maruah Melayu sedangkan Najib nampaknya terdesak, menawarkan rasuah. Ucapan Najib bukan soal visi. Ia soal habuan.” – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen