S. Arutchelvan mengaku kalah di Semenyih


The Malaysian Insight

AHLI Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya sebentar tadi, beliau mengaku kalah dalam persaingan empat penjuru membabitkan calon dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Beliau berkata adalah jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan hanya mengiktiraf PH sebagai pembangkang.

“Keputusan awal menunjukkan PSM kecundang di Semenyih. Rakyat nampaknya mahukan perubahan dan hanya iktiraf satu pembangkang iaitu PH.

“Keputusan ini memang menunjukkan hasrat rakyat untuk tolak BN dan semua parti ketiga yang bertanding,” tulis beliau.

Arutchelvan menghormati keputusan itu dan berharap PH membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Penyandang DUN Semenyih adalah Johan Abdul Aziz, yang juga merupakan pengerusi BN Selangor. Dalam pilihan raya lepas, beliau memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 4,757 undi.

Arul turut bertanding dalam PRU 2013. Beliau memperolehi 5,568 undi, berbanding Johan yang memperolehi hampir 18,000 undi dan calon PKR Hamidi A. Hasan 13,100 undi. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen