SELEPAS gagal membawa Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Najib Razak bersama-sama di atas pentas dua tahun lalu, sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini bertekad mendapatkan kedua-dua pemimpin itu untuk berdebat secara terbuka dalam tempoh sebulan akan datang.
Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Dr Mahathir sudah memberikan persetujuan kepadanya dan kini terpulang kepada Najib untuk menyahut cabaran dalam acara forum “Nothing To Hide”.
Forum yang dianjurkan pada 5 Jun 2015, dihentikan atas nasihat polis, atas alasan kebimbangan keselamatan.
Ia sepatutnya menjadi perdebatan terbuka antara Dr Mahathir dan Najib. Bekas perdana menteri itu muncul pada majlis berkenaan tetapi Najib sebaliknya.
Dr Mahathir kemudian naik ke pentas untuk bercakap dengan orang ramai tetapi dihalang polis separuh semasa berucap dan diiring turun.
“Kami akan hantar surat rasmi kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam masa terdekat dan memberi masa selama dua minggu kepada Najib untuk membalas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata jika perdana menteri tidak memberikan jawapan, dialog tersebut tetap akan diteruskan.
“Kita sudah menyatakan program ini kepada Dr Mahathir dan akan pastikan beliau hadir.”
Bagaimanapun, lokasi bagi program hanya akan dimaklumkan selepas Najib membalas cabaran itu.
Berhubung kelulusan permit pula, Syed Saddiq berkata akan membuat permohonan kepada pihak polis dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
“Kami akan anjurkan program ini dan ingin mencabar Dr Mahathir dan Najib hadir bagi menjawab soalan pedas dan pedih yang mana jawapannya ingin didengar oleh rakyat.”
Terdahulu, Syed turut menafikan kenyataan media dibuat exconya, Hafiz Azhar semalam yang meminta Dr Mahathir menjelaskan kekayaannya anak-anaknya.
Syed yang menafikan kenyataan Hafiz mewakili Pemuda Bersatu dan berkata akan merujuk exco itu kepada badan displin parti yang baru ditubuhkan.
“Kita tidak akan memecat atau terus menuduh yang kononnya perbuatan itu didalangi Barisan Nasional.
“Kita tidak bawa budaya Umno, dan Armada sangat meraikan perbezaan pendapat, tetapi biarlah ia menurut platform yang betul.”
Sehubungan itu, Syed percaya dengan pengaNjuran dialog “Nothing To Hide” sebagai platform untuk membangkitkan pelbagai soalan dengan bebas.
Ini akan menjadi percubaan ketiga penganjuran “Nothing To Hide”, dengan anjuran berbeza yang sering berakhir dengan kekecohan.
Acara pertama diadakan pada 5 Jun 2015, tetapi Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengarahkan ia dibatalkan atas alasan keselamatan.
Dua hari sebelum dialog itu, dilaporkan Najib bersetuju menghadiri majlis yang dianjurkan Persatuan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).
Kira-kira 1,500 orang daripada pelbagai kumpulan menghadiri program ini, dan sepatutnya berpeluang bertanya soalan mengenai kepimpinan kerajaan Najib.
Penganjuran kedua pula adalah anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pada Julai tahun lepas, tetapi tidak melibatkan Najib atau Dr Mahathir.
Sebaliknya, penganjur memberi tumpuan kepada Muhyiddin Yassin dan kes perceraian sepasang suami isteri.
JMM mendakwa Muhyiddin bersetuju hadir yang kemudian dinafikan bekas timbalan perdana menteri itu.
Hadirin menyerbu keluar apabila penceramah memburukkan Muhyiddin. Ramai yang marah dengan mendakwa pihak penganjur berbohong apabila mengatakan Muhyiddin akan hadir. – 11 Jun, 2017.
Komen