GRS tidak akan sertai mana-mana 'langkah', kata Hajiji


Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata ketika ini negara memiliki Kerajaan Madani yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2024.

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) tidak akan sesekali menyertai mana-mana ‘langkah’ untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan semasa kerana ia akan membawa kepada kekacauan selain menjejaskan kestabilan negara.

Pengerusi GRS Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah berkata ketika ini negara memiliki Kerajaan Madani yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri itu.

“Jadi kenapa perlu mengucar-kacirkan keadaan? Kita bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang langkah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi perdana menteri perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Hajiji berkata GRS turut memberikan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan yakin dengan kepimpinan beliau.

“Biarkanlah beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum ini ke arah kemakmuran,” katanya.

Justeru beliau mempersoal motif dan niat pihak yang menganjurkan ‘Langkah Dubai’ sama ada mereka sekadar ingin memenuhi agenda politik semata-mata tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat. – Bernama, 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen