Pengusaha restoran lega tempahan 'makan besar' hampir penuh 


Angie Tan

Pengusaha restoran Cina di seluruh negara yakin tempahan 'makan besar' sempena Tahun Baharu Cina akan penuh. – Gambar AFP, 10 Januari, 2024.

TAHUN Baharu Cina masih tinggal kira-kira tiga minggu lagi tetapi beberapa restoran melaporkan sudah menerima 50% tempahan untuk acara “makan besar”. 

Pemilik restoran berkata ini adalah petanda jelas kebimbangan dijangkiti virus itu, walaupun terdapat peningkatan semula kes Covid-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini, semakin pudar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ang Swee Kiong, presiden Persatuan Dapur Johor, berkata beliau yakin restoran di seluruh negara akan menerima tempahan sepenuhnya bagi acara makan malam kali ini.

“Pasti akan penuh (restoran),” katanya kepada The Malaysian Insight kerana tempahan meja dilaporkan semakin meningkat di banyak negeri di negara ini.

“Sekarang saya takut bagi mereka yang tidak membuat tempahan awal. Mereka mungkin tidak mendapat meja di mana-mana,” kata Ang ketika keadaan menunjukkan tanda-tanda kembali normal.

Too Hon Kwong, pengerusi Restoran Hee Lai Ton (Pudu) Sdn Bhd, menyokong keyakinan Ang.

Beliau berkata tiada pembatalan tempahan di restorannya berhubung kebimbangan kes yang kembali naik.

“Tempahan kami sudah pun penuh.”

Too percaya sebab utama orang ramai tidak terlalu bimbang dengan kenaikan semula kes Covid-19 adalah jaminan kerajaan yang keadaan terkawal.

Ketika Too gembira dengan tempahan restorannya untuk makan malam sempena Tahun Baharu Cina, beliau mengeluh kerana tempahan untuk “makan malam penutup” akhir tahun agak perlahan.

Beliau berkata majoriti majikan masih cenderung memilih makan malam penutup lebih kecil - hanya beberapa meja.

Ia katanya jauh berbeza berbanding sebelum pandemik apabila majikan cenderung menganjurkan makan malam besar untuk pekerja mereka.

Garis panduan keselamatan

Bagi memastikan majlis makan malam berlangsung selamat, Ang berkata restoran yang menjadi ahli Persatuan Dapur Johor akan melaksanakan garis panduan keselamatan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Restoran sentiasa melaksanakan langkah pencegahan asas, dan pekerja diarahkan memakai pelitup muka di tempat kerja, tambahnya.

“Sekarang kami tidak secara khusus memerlukan pelanggan memakai pelitup muka, kami percaya selagi kami melakukan bahagian kami, pelanggan akan mengikutinya (memakai pelitup muka).”

Ang juga menegaskan dalam tempoh selepas pandemik, di mana orang ramai kini sangat mementingkan kebersihan, pemilik restoran juga lebih berusaha untuk mengekalkan kedai yang bersih, termasuk tandas.

Pada 18 Disember tahun lepas, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan semasa sidang akhbar yang kementerian akan melaksanakan lima langkah untuk menangani situasi Covid-19 yang semakin meningkat: pengesanan awal kes yang disahkan, memulakan semula TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum, dan Dapatkan Rawatan), dan menangani varian Omicron dan subvariannya (XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan JN.1).

Laporan terbaru menyebut penyebaran pantas varian JN.1, yang diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai “varian membimbangkan”, dengan kes dilaporkan di 40 negara, termasuk United Kingdom, Denmark, Sepanyol dan Iceland. Amerika Syarikat juga mula-mula mengesan kes JN.1 pada Ogos tahun yang sama. – 11 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen