SEMBILAN orang Sabah membuat laporan polis selepas dihalang membuang undi di Klang pagi tadi.
Ketua Polis Klang Utara Shamsul Amar Ramli berkata kesemua sembilan pengundi yang telah beratur semenjak pagi itu telah diminta keluar dari pusat mengundi oleh seorang ejen pilihan raya PKR dan memberitahu mereka tidak boleh membuang undi kerana tertera huruf “H” pada MyKad masing-masing.
Huruf “H” digunakan untuk orang Sabah manakala “K” pula untuk orang Sarawak.
Menurut Shamsul, bantahan itu diajukan oleh ejen PKR berkenaan selepas melihat dokumen pengenalan mereka.
“Charles Santiago (PKR) dan seorang pegawai SPR kemudian berbincang mengenai masalah ini, dan kemudiannya beliau berkata mereka adalah pengundi yang sah,” katanya.
Bagaimanapun, sembilan orang Sabah itu berdepan satu lagi masalah apabila mereka cuba masuk semula ke dalam barisan hingga menimbulkan kemarahan pengundi lain.
“Disebabkan hal itu, mereka terus pergi tanpa mengundi dan ke pusat balai polis Pandamaran untuk membuat laporan,” kata Shamsul.
Beliau berkata unit Light Strike Force telah dihantar ke sekolah terbabit untuk mengawal keadaan.
“Hanya selepas LSF tiba, barulah keadaan kembali aman.”
Santiago yang merupakan penyandang kerusi parlimen Klang berdepan calon Barisan Nasional Ching Eu Boon dan calon Bebas G. Puvananderan. – 9 Mei, 2018.
Komen