PARLIMEN tergantung boleh berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika tidak ada mana-mana gabungan parti yang berjaya mendapatkan majoriti mudah atau 112 kerusi Parlimen, dan ini mungkin menyebabkan terbentuknya kerajaan campuran.
Kerajaan seumpama itu hanya boleh diketuai oleh ahli Parlimen yang diterima kepada sekurang-kurangnya dua gabungan.
“Rundingan perlu bermula sehingga seseorang mendapat keyakinan 112 ahli Parlimen,” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Surendra Ananth.
Parlimen tergantung berlaku apabila tiada blok gabungan parti mendapat majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat.
Parti pemerintah atau parti pembangkang, kedua-duanya tidak mendapat sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan dan ia akan membawa kepada kerajaan campuran.
Cabang eksekutif perlu diketuai oleh ahli politik yang diterima oleh kedua-dua pihak ketika sidang Dewan Rakyat bermula.
Felo Penang Institute Wong Chin Huat berkata rundingan yang paling penting untuk dilakukan dan hasilnya akan bergantung pada bagaimana kerusi terbahagi.
“Ia mungkin Warisan di Malaysia timur atau parti Barisan Nasional boleh jadi bebas juga,” katanya.
Wong berkata jika Warisan Sabah atau Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti dominan di Sarawak, menerima ketiga atau keempat kerusi terbanyak, mereka mungkin menyertai Pakatan Harapan.
“Jika Umno lemah, kenapa perlu setia? Pergi jadi bebas, anda boleh dapat rundingan lebih baik dengan mana-mana bahagian. Jika BN kalah semenanjung Malaysia dengan kurang 80 kerusi, keadaan itu mungkin berlaku.
“Ini bermakna mereka akan bergantung pada kira-kira 30 kerusi dari Malaysia timur untuk kekal majoriti. Bodohlah untuk PBB untuk terus setia bersama Umno.” – 9 Mei, 2018.
Komen