SEORANG pengundi di Petaling Jaya menyatakan kekecewaannya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerana ibunya tidak boleh mengundi kerana namanya sudah dipotong sebelum beliau membuang undi.
Loke Wai Loon, 36, berkata ia adalah kali pertama ia berlaku kepada ibunya yang berusia 60 tahun, Chai Kim Len, kerana sebelum ini di lokasi yang sama, SMK Tropicana, tanpa sebarang masalah.
“Saya mengesyaki mereka salah menanda atau ada yang mempunyai nombor kad pengenalan yang serupa.
“Saya akan membuat laporan polis dan bertanya apa yang boleh dilakukan,” katanya.
Mereka menunggu selama setengah jam untuk mengundi, tetapi ditolak oleh pegawai yang bertanggungjawab.
Loke berpaling kepada calon PKR bagi Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, yang berada di sana untuk membuang undinya, dan bertanya apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera.
Maria bercakap dengan pegawai SPR yang bertugas di Saluran Tiga, Nik Mohd Izzani Nik Mohd Amin, dan meminta untuk melihat senarai nama.
Namun Izzani menolak permintaannya dan mendakwa borang itu tidak boleh dilihat dan/atau dirakam oleh orang ramai.
Maria menggesa Loke untuk membuat laporan polis dengan segera.
“Jika mereka tidak mahu (membuat laporan) satu-satunya perkara yang boleh mereka lakukan ialah mengadu kepada SPR.
“Tetapi secara jujurnya, itu tidak memberi kesan. Mereka (SPR) tidak akan membetulkannya. Mereka sepatutnya melakukanya sebelum PRU14,” katanya kepada Malaysia Decides. – 9 Mei, 2018.
Komen