BARISAN pengundi beratur di Parlimen Segambut masih panjang dengan purata 60 pengundi bagi setiap saluran setakat jam 4 petang tadi.
Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Segambut, Hannah Yeoh berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana walaupun masih ramai yang beratur, stesen mengundi akan ditutup jam 5 petang ini.
“Kita melihat ada kira-kira 60 orang masih beratur di setiap barisan, jadi saya bimbang mereka tidak akan sempat mengundi,” katanya.
Bekas speaker dewan undangan negeri Selangor itu menggesa orang ramai untuk terus mengundi dan membantah jika ada sesiapa menghalang mereka berbuat demikian.
“Jika anda masih dalam kawasan itu dan ada kertas undi, anda ada hak untuk mengundi.”
Yeoh berkata ada yang mengadu kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempengaruhi warga emas untuk mengundi.
“Bila mereka minta tolong, pegawai SPR berkenaan beritahu mereka di mana perlu pangkah. Mereka diberitahu supaya pangkah PAS, menurut seorang warga emas,” katanya.
Sementara itu, badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menggesa rakyat Malaysia terus beratur walaupun selepas jam 5 petang.
“Terus beratur walaupun selepas jam 5 petang dan jangan mengalah sehingga anda dibenarkan mengundi,” kata Bersih 2.0. – 9 Mei, 2018.
Komen