JIKA ditakdirkan Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), gabungan Barisan Nasional (BN) mesti sanggup dan bersedia menyerahkan kuasa kerajaan bagi memastikan peralihan berjalan dengan lancar, kata pakar undang-undang.
Sekiranya BN gagal kembali berkuasa, di mana ia akan menjadi insiden kali pertama dalam sejarah politik Malaysia, akan wujud risiko gangguan politik, kecuali jika kerajaan sementara menyerahkan kuasa dengan cara baik, kata Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Badan Peguam Malaysia, Lim Wei Jiet.
“Pertama sekali mereka perlu terima kekalahan dengan aman.
“Mereka perlu serta-merta menyerah kalah dan mengosongkan bangunan kerajaan dan semua milik kerajaan termasuk kediaman, kereta, jet dan sebagainya,” kata Lim.
Lim berkata untuk membolehkan penyerahan secara lancar kepada perdana menteri baharu, pegawai kementerian perlu memberi taklimat kepadanya tentang dasar utama yang memerlukan kelangsungan; perkara pertahanan dan keselamatan negara serta maklumat penting lain yang diperlukan untuk mengambil alih pentadbiran.
Gabungan parti politik perlu menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk menawan Putrajaya.
Selepas keputusan PRU14 diumumkan malam ini, Yang di-Pertuan Agong akan memanggil menghadap pemimpin parti yang menang – sama ada Najib Razak atau Dr Mahathir Mohamad.
“Individu yang mendapat paling banyak majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat akan memohon menghadap Agong, yang kemudian akan menggunakan kebijaksanaannya menentukan kerusi majoriti berkenaan.
“Jika benar, Agong akan melantik individu itu sebagai perdana menteri. Perdana menteri itu kemudian akan melantik jemaah menteri untuk membentuk eksekutif.”
Di bawah Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Agong akan melantik perdana menteri yang juga “ahli Dewan Rakyat yang pada penilaiannya akan dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan”.
Agong juga akan menentukan tarikh permulaan penggal pertama sidang Parlimen ke-14, di mana pada masa itu nanti wakil rakyat akan mengangkat sumpah, diketuai oleh perdana menteri. Parlimen kemudian akan mengundi untuk memilih speaker daripada kalangan ahli Parlimen.
Bagaimanapun, beberapa peguam yang ditemu bual Malaysia Decides berkata mereka percaya mungkin peralihan kuasa tidak akan berlaku dengan lancar, jika PH berjaya menewaskan BN.
Politik negara juga akan bermasalah jika kerajaan baharu di bawah PH terbentuk tanpa majoriti undi percaya.
“Proses perundangan akan terganggu atau tertangguh,” kata seorang peguam.
“Peralihan kuasa tidak mungkin berjalan lancar,” kata seorang lagi.
Pada masa ini, hal ehwal pentadbiran kerajaan dijalankan oleh kerajaan sementara sehingga Kabinet baharu dibentuk selepas PRU14 atau ketika sidang baharu Parlimen bermula. – 9 Mei, 2018.
Komen