Banjir: 3 sekolah di Johor ditutup esok


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membenarkan murid mangsa banjir memakai baju biasa ke sekolah. – Gambar Facebook, 7 Januari, 2024.

TIGA sekolah di daerah Johor Bahru ditutup bermula esok akibat banjir, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Norlizah Noh.

Menerusi satu kenyataan ringkas hari ini, beliau berkata tiga sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya, ⁠SK Bukit Mutiara dan SK Sungai Tiram namun setakat ini tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersangkut akibat banjir di negeri itu.

“Mengikut kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek pada 2 Januari lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membenarkan murid mangsa banjir memakai baju biasa ke sekolah,” katanya.

Norlizah berkata seramai 48,276 pelajar di negeri itu dijangka menduduki peperiksaan SPM dengan ujian lisan bermula hari ini diikuti ujian bertulis hingga 7 Mac, yang melibatkan 364 jumlah pusat peperiksaan dengan 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan.

Selain itu, 8,831 pelajar pula akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang pada 22 Januari hingga 6 Februari, melibatkan 75 jumlah pusat peperiksaan dengan 572 petugas peperiksaan. – Bernama, 7 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen