Ejen pilihan raya BN 'ditangkap' catit nombor siri pengundi di Tanjung Bungah


The Malaysian Insight

SEORANG daripada ejen pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini “menangkap” rakan sejawatannya daripada Barisan Nasional (BN) kerana mengisi nombor siri pengundi di dalam buku nota.

Peguam Andrew Yong, 38, ejen daripada PKR, berkata beliau dan calon PKR Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari menyaksikan ejen pengundian BN di pusat pengundian SM Pendidikan Khas Persekutuan menulis nombor siri di dalam buku nota putih yang disediakan parti pada jam 11 pagi tadi.

“Pada muka surat pertama buku nota tersebut terdapat arahan agar mencatit nombor siri yang disebut kerani mengundi, dan segera menyerahkannya kepada petugas IT yang dilantik oleh Ketua Peti Undi sebaik sahaja keluar dari tempat mengundi.

“Ejen itu juga diarahkan tidak meninggalkan buku nota itu di meja selepas selesai bertugas,” kata Yong dalam laporan polis dibuatnya.

Yong berkata tindakan agen pilihan raya BN bertentangan dengan Seksyen 5 (2) dan 5 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Apabila Ketua Tempat Mengundi (KTM) menyoal ejen tempat mengundi BN tersebut, kami mendapat tahu buku nota tersebut dibawa keluar dari tempat mengundi selepas akhir syif ejen tempat pengundi BN setiap dua jam (iaiitu pada pkul 10 pagi, 12 tenghari dan 2,4 dan 5 petang) untuk disampaikan kepada pihak penyelia BN sekali gus menyalahi seksyen 5(2) dan 5(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1959.

“Kami dengan pertolongan KTM merampas sebuah buku nota itu. Selepas itu, saya membuat laporan kepada penyelia SPR di SK Pendidikan Khas Persekutuan dan meminta supaya KTM di saluran lain merampas buku nota yang didapati di sekolah tersebut.”

Yong berkata pegawai pengurus pilihan raya kerusi Parlimen Bukit Bendera dan penolong pilihan raya bagi kerusi negeri Tanjung Bunga turut dimaklumkan tentang kejadian itu.

“Saya kemudian merujuk kepada pengarah SPR Pulau Pinang. Mereka semua menasihati saya untuk membuat laporan polis,” katanya.

Pengundian di Pulau Pinang yang dikawal PH berjalan lancar hari ini, kecuali beberapa pengundi diberitahu mereka tidak dapat mengundi kerana rekod SPR menunjukkan mereka sudah mengundi.

Seorang lelaki tua di kerusi Parlimen Bagan juga diberitahu agar menukar seluar pendeknya sebelum memasuki stesen mengundi.

Menjelang 2 petang, lebih 65% pengundi Pulau Pinang, kecuali pengundi awal dan pos keluar mengundi. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen