PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah hari ini berkata pihaknya akan menyiasat berkenaan isu undi pos tidak sampai atau lewat diterima oleh pengundi.
Ia susulan suruhanjaya itu menerima pelbagai aduan dan kecaman mengenai pengurusan yang tidak cakap dalam proses pengundian pos.
“SPR akan menyiasat perkara ini di mana masalah atau puncanya berlaku kelewatan penghantaran yang menyebabkan ada pengundi tidak menerima kertas undi mereka atau lewat diterima.
“SPR menerima beberapa aduan berkaitan isu ini dan memandang serius serta akan menyiasat lanjut tentangnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, ada persatuan pelajar Malaysia di luar negara mendakwa mereka percaya SPR sengaja melewatkan penghantaran kertas undi kepada pelajar di luar negara.
Mereka mendakwa tempoh 11 hari untuk SPR mencetak dan menghantar kertas undi, kemudiannya pengundi pos perlu menghantar semula kepada SPR, terlalu singkat. – 9 Mei, 2018.
Komen