Hamas gesa Blinken fokus tamatkan pencerobohan Israel


Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken bakal mengadakan lawatan ke Israel dan Tebing Barat serta beberapa negara Teluk dalam jelajahnya ke Timur Tengah.– Gambar EPA, 7 Januari, 2024.

PEMIMPIN Hamas Ismail Haniyeh menyeru Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken memanfaatkan jelajahnya ke Timur Tengah untuk menamatkan “pencerobohan” Israel ketika perang masih meletus di Gaza.

Blinken yang tiba di Turkiye pada Jumaat bakal mengadakan lawatan ke Israel dan Tebing Barat serta beberapa negara Teluk. Ini merupakan lawatan serantau keempat beliau sejak pertempuran meletus pada 7 Oktober lalu.

Pegawai AS berkata kali ini Blinken akan menumpukan kepada mendapatkan lebih banyak bantuan ke Semenanjung Gaza.

Dalam mesej video yang disiarkan di saluran media sosial Hamas, Haniyeh berkata beliau berharap Blinken telah “mendapat pengajaran selama tiga bulan terakhir” di mana Israel tidak henti-henti mengebom Gaza dalam usaha untuk memusnahkan kumpulan pejuang Islam itu.

Haniyeh berkata sokongan AS terhadap operasi ketenteraan Israel telah menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap rakyatPalestin di Gaza.

“Kami berharap kali ini beliau akan lebih fokus untuk menamatkan pencerobohan serta pendudukan semua tanah Palestin,”
katanya.

AS sebelum ini berulang kali enggan menyokong gesaan bagi gencatan senjata di Gaza.

Bagaimanapun, Washington telah memberikan sokongannya kepada jeda kemanusiaan dan menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut lebih banyak bantuan masuk ke Gaza. – AFP, 7 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen