‘I have a good feeling’, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

“I have a good feeling”, kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas tentang pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mungkin akan memihak kepada gabungan pembangkang itu.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PH ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Kepala Batas, Kedah berkata keyakinannya itu berdasarkan kepada jumlah rakyat mendengar amanatnya semalam yang disiarkan secara langsung di laman sosial.

“Saya tak tahu mengenai apa berlaku pengundian hari ini tapi akses saluran media kami semalam masa saya bagi amanat lebih 200,000 orang, Najib Razak 30,000 orang.

“Nampaknya mereka berminat dengan apa saya cakap dan berharap ia boleh mempengaruhi mereka (mengundi). Ya saya ada ‘good feeling’,” katanya.

Beliau pagi tadi sempat melawat dua pusat mengundi di Langkawi.

Mengulas mengenai lawatan itu, Dr Mahathir berkata jumlah pengundi yang hadir pada pagi tadi kurang memberangsangkan.

“Setakat ini bagus walaupun di Langkawi pun bagus (tempat mengundi) tapi jumlah yang datang mengundi agak perlahan pada pagi, saya rasa mereka akan datang,” katanya.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu bertanding di Langkawi selepas 15 tahun bersara daripada dunia politik.

Sementara itu, beliau membidas tindakan perdana menteri sementara Najib Razak susulan pemberian insentif kepada rakyat.

“Ia amat mengarut,” katanya. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen