TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menganggap perutusan khas Najib Razak yang semalam sebagai sogokan dan langkah terdesak untuk mendapat sokongan rakyat disaat-saat akhir.
Menurutnya, ia berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) kerana perutusan khas Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan secara langsung di Facebook Live tidak perlu menabur janji sebaliknya mengajak rakyat menyelamatkan Malaysia dengan memberi peluang kepada gabungan itu.
“PH membicarakan soal maruah negara, bagaimana ingin mengajak rakyat mengembalikan maruah negara ke tahap cemerlang dan dihormati.
“Malangnya Najib lebih kepada menyogok rakyat untuk memancing undi di saat-saat terakhir. Ini membuktikan beliau amat terdesak untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14,” kata calon PKR Parlimen Gombak itu kepada Malaysia Decides.
Tambahnya, PH tidak perlu menabur janji kerana rakyat sudah bijak menilai parti mana yang mampu mentadbir Malaysia dengan lebih baik.
“Saya amat yakin rakyat cukup matang untuk menilai,” katanya yang melawat kawasan peti undi di Sekolah Menengah Taman Melawati, Gombak.
Semalam, perdana menteri sementara itu mengumumkan tiga insentif tambahan sekiranya Barisan Nasional yang diterajuinya menang hari ini.
Dalam perutusan khas dari Pekan, Pahang, Najib berkata semua warga Malaysia berumur 26 tahun tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana dikecualikan bermula tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya.
Najib turut mengumumkan cuti peristiwa khas selama dua hari pada Isnin dan Selasa depan, 14 dan 15 Mei. Kebanyakan negeri di Malaysia akan bercuti pada Rabu sempena sambutan bulan puasa.
Calon Parlimen Pekan itu juga mengumumkan tiada bayaran tol dikenakan kepada pengguna lebuh raya di seluruh negara selama lima hari bermula dua hari sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri. – 9 Mei, 2018.
Komen