PENGUNDI di Gombak tidak ada masalah untuk menghabiskan masa menunggu hampir tiga jam bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia membuang undi hari ini.
Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 69, berkata ini peluang keemasan untuk rakyat mengubah kepada kerajaan yang lebih baik.
“Kita mahu ubah. Sudah tunggu tiga jam. SPR nak suruh tunggu 10 jam pun kami sanggup. Sebab kami sudah tunggu 60 tahun (mahu ubah),” katanya kepada Malaysia Decides.
Kebanyakan pengundi di Sekolah Menengah Taman Melawati merungut kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sistematik dalam menguruskan proses pilihan raya.
Mereka juga sempat mengadukan perkara itu kepada calon PKR Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.
“Datuk, kami sini sudah tunggu tiga jam. Tapi tidak apa. Berbaloi untuk kami tunggu,” kata Rahmat,58, kepada menteri besar sementara Selangor itu.
Sementara itu, seorang pengundi kali pertama Lynne, 29, berkata beliau bangga masyarakat beramai-ramai keluar mengundi untuk menentukan masa depan negara.
“Kita sudah beratur dari jam7 pagi dan ia bukan halangan buat kita jalankan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Azmin yang juga timbalan presiden PKR kecewa dengan pengurusan SPR yang tidak cekap dalam menjalankan tugas.
“Malang sekali bagi (SPR) sebuah badan yang seharusnya cekap dan efisien. Malangnya ramai pengundi terpaksa beratur lebih tiga jam semata-mata untuk memangkah.
“Namun, saya ucapkan tahniah kepada pengundi kerana mereka bersabar dan sanggup menunggu semata-mata untuk membawa perubahan,” katanya.
Parlimen Gombak kali ini memperoleh 141, 112 pengundi dengan pertambahan lebih 20,000 pengundi baharu dijangka bakal menentukan sama ada Azmin berjaya mengekalkan kedudukannya di Parlimen itu buat penggal ketiga. – 9 Mei, 2018.
Komen