CALON PKR bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa mereka yang bertanggungjawab di pusat pengundian SMK Tropicana untuk mempercepat proses pengundian kerana bimbang sesetengah pengundi mungkin tidak mempunyai masa mencukupi untuk mengundi sebelum jam 5.00 petang.
Maria yang dijadualkan mengundi pada jam 11.30 pagi tiba di sekolah bersama tiga anaknya, yang merupakan pengundi kali pertama.
Bagaimanapun, beliau memutuskan kembali pada jam 3 petang untuk mengundi kerana barisan terlalu panjang.
“Kami tidak bermaksud memberi tekanan kepada mereka yang bertanggungjawab hari ini tetapi mereka mungkin boleh mempercepatkan proses itu.
“Ia mengenai pengurusan. Saya bimbang ada yang mungkin tidak dapat mengundi dalam masa ditetapkan,” kata Maria.

Maria yang mengenakan baju kurung biru muda memeriksa beberapa saluran dan meminta agar agen mengundi melakukan apa yang mungkin untuk mempercepatkan proses itu.
Terdapat sembilan saluran yang ada di stesen itu dan jam 12.00 petang, kira-kira 1,500 pengundi masih menunggu untuk mengundi.
Semua orang seolah-olah tenang walaupun cuaca panas.
Maria akan bertanding menentang calon Barisan Nasional Chew Hian Tat dan Noraini Husin daripada PAS. – 9 Mei, 2018.
Komen